Friday, October 24, 2008

Syor perkenal subjek kontrak sosial (berita harian 23/10/2008)

Kefahaman penting agar keharmonian negara terjamin

TAIPING: Sultan Perak Sultan Azlan Shah menyarankan subjek kontrak sosial diperkenalkan di institusi pendidikan supaya generasi muda negara ini memahaminya dengan lebih mendalam.

Baginda bertitah, kefahaman generasi muda mengenai kontrak sosial penting supaya keharmonian, keamanan dan kestabilan negara terus terjamin.

“Beta berasa bangga bahawa pendirian tegas yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu baru-baru ini mengenai perkara kontrak sosial mendapat sambutan dan sokongan kuat pelbagai pihak,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas) di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Baginda turut bertitah, ekonomi negara akan terus diperkukuhkan melalui peningkatan daya saing dan penerokaan sumber pertumbuhan baru serta persaingan di pasaran global turut meningkat.

Peningkatan daya saing itu memerlukan modal insan bertaraf dunia yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, kreatif dan berkebolehan dalam semua aspek serta memiliki etika kerja positif, selain mempunyai nilai kerohanian, titah baginda.

Oleh yang demikian, Sultan Azlan Shah bertitah, pembabitan pelajar dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Negara kita memang memerlukan modal insan berminda kelas pertama dan boleh dipasarkan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa sesuatu pengiktirafan hendaklah dianggap sebagai satu daripada anak tangga dalam pendakian menuju puncak kecemerlangan dan wajib untuk berasa cemburu pencapaian orang lain yang lebih cemerlang.
Pada majlis itu, Sultan Azlan Shah turut menyampaikan anugerah Pelajar Terbilang Sijil Pelajaran Malaysia 2007 kepada Muhammad Farid Nazar Muhammad Faruqu yang berjaya mendapat 9A1. - Bernama

No comments: