INGATAN Majlis Raja-Raja kepada mana-mana pihak supaya tidak lagi mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial, apa lagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini, perlu dipatuhi semua. Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan khas kelmarin berharap dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara berkenaan di kalangan rakyat dapat dibendung dan suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara. Mungkin ramai yang lupa atau sengaja tidak mahu ambil tahu bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini. Dengan itu juga, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Diakui bahawa sejak kebelakangan ini, terutama selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti 2/3 di Parlimen pada pilihan raya umum Mac lalu, beberapa pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tertentu, termasuk di kalangan parti komponen BN sendiri mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial sehingga menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Malah, ada pihak tertentu seperti Majlis Peguam dengan lantang mempersoalkan kontrak sosial dan menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang disertai beberapa ahli panel yang hampir semuanya bukan Melayu, Jun lalu. Masyarakat Melayu bimbang dan marah dengan keadaan itu.
Ini juga boleh digambarkan dengan kebimbangan terhadap penguasaan orang Melayu di Parlimen dengan hanya menguasai 124 kerusi atau 55.8 peratus menerusi Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus tidak menggambarkan kedaulatan Melayu di negara yang kerajaannya adalah bangsa Melayu. Keadaan inilah sebenarnya menyebabkan golongan tertentu semakin lantang mempersoalkan hak orang Melayu, termasuk mempertikai kewajaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk diteruskan, selain isu kontrak sosial. Jika selama ini, orang Melayu beranggapan bahawa Umno yang menjadi penjaga kepada kedaulatan Melayu, sudah pastilah boleh disimpulkan bahawa kuasa Melayu di negara ini semakin terhakis berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu. Umno hanya menguasai 78 kerusi Parlimen, selain kehilangan kuasa memerintah di Selangor, Kedah serta Perak dan ia secara langsung menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk mengundi Umno. Jika kontrak sosial dicemari, kita akan menjurus kepada kehancuran. Kestabilan akan terjejas dan kaum-kaum di negara ini akan berbalah. Apakah itu harga kebebasan yang kita mahukan?
Sumber: beritaharian 20081018
No comments:
Post a Comment