Friday, October 24, 2008

Di Luar Lingkaran: Peringatan Raja-Raja Melayu (berita harian 18/10/08)

Oleh Johan Jaafar

Kedangkalan pengetahuan punca Perlembagaan dipersoalkan

MAJLIS Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan akhbar khas mengenai beberapa isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia. Bukan selalu Majlis Raja-Raja membuat kenyataan akhbar, apa lagi dalam nada yang sedemikian jelas dan tegas. Orang ramai boleh membuat pelbagai tafsiran mengenai keadaan yang dianggap 'luar biasa' itu. Tetapi yang pentingnya Raja-Raja Melayu berasa perlu membuat kenyataan sedemikian dalam iklim politik dan sosial masa ini.

Kenyataan itu menyentuh tentang hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu; agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sudah pastilah Raja-Raja Melayu selama ini mengikuti perkembangan yang berlaku di negara ini, khususnya dalam konteks kelantangan pelbagai suara yang mulai mempertikai kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu. Hal-hal ini bukan sahaja dijadikan bahan forum terbuka tetapi menjadi modal pilihan raya. Malah apa yang dianggap sebagai 'kontrak sosial' yang merupakan peruntukan-peruntukan tertentu yang telah dipersetujui bersama sewaktu Perlembagaan itu digubal telah juga dipersoalkan. Memang akhir-akhir ini banyak sekali perbahasan terbuka yang melimpah hingga ke dada-dada akhbar dan ruang udara serta internet mengenai pelbagai isu yang dianggap sensitif dalam konteks negara kita.
Majlis Raja-Raja menggunakan ungkapan 'pihak-pihak tertentu' yang mempertikai dan mempersoal perkara-perkara tersebut sedangkan semuanya telah menjadi 'asas utama pembentukan negara Malaysia.' Ekoran dari tindakan itu telah 'menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.' Maka itu timbul pelbagai reaksi balas yang keras dan marah terhadap pihak-pihak ini.

Apa-apa yang termaktub di dalam Perlembagaan sepatutnya dianggap telah selesai. Memanglah Perlembagaan Persekutuan sebuah dokumen yang hidup. Tetapi sesiapapun harus menghargainya sebagai dokumen yang memungkinkan kewujudan sebuah negara bangsa yang kita kenal hari ini. Perlembagaan mana-mana negara dianggap dokumen teras yang memberi makna yang besar pada kemerdekaan negara itu. Perlembagaan Persekutuan tidak terkecuali.

Perlembagaan itu lahir dari pemikiran pelbagai pihak � yang diwakili oleh pelbagai kaum dan kepentingan di negara ini. Mereka mempunyai visi jangka panjang sambil menyedari hakikat kompleksiti masyarakat pelbagai kaum. Kenyataan itu juga menyebutkan, 'setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya.' Maka itu Perlembagaan perlu dipertahankan, bukan sahaja sebagai ikrar dalam Rukun Negara yang dihafal oleh pelajar di sekolah, tetapi juga semangatnya harus dihormati.

Memang mudah menanyakan pelbagai isu dalam dokumen yang telah dihasilkan lebih 50 tahun yang lalu. Lebih mudah lagi menggunakan beberapa peruntukan di dalamnya bagi tujuan menunjukkan kelemahan dan salah guna dasar yang dilaksanakan. Memang ada kemungkinan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan yang diterjemah menjadi dasar untuk matlamat tertentu. Dan bukan mustahil dasar itu penuh ketirisan dan kebocorannya apabila dilaksanakan. Tetapi itu bukan alasan untuk menidakkan keperluan sesuatu dasar itu. Apalah lagi peruntukan Perlembagaan di belakangnya.

Soal yang membabitkan hak istimewa orang-orang Melayu misalnya tidak sepatutnya dibangkitkan lagi. Bagi memberikan penegasan baru, kenyataan rasmi Majlis Raja-Raja itu yang antara lain menyebutkan "Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan."

Majlis Raja-Raja menyalahkan "kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah" sebagai punca isu-isu tersebut dibangkitkan sewenang-wenangnya. Mereka juga tidak faham dengan jelas mengapa peruntukan-peruntukan tertentu dimasukkan dalam Perlembagaan. Ada kemungkinan juga 'prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini, tidak berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini.' Majlis Raja-raja menyalahkan juga 'politik sempit' sebagai penyebab berlakunya perkara ini.

Pemahaman latar belakang sejarah negara amat kritikal bagi memahami bagaimana dokumen sepenting Perlembagaan. Perlembagaan tidak lahir dari vakum. Menurut kenyataan itu lagi, apa yang difahamkan 'kontrak sosial' tidak wajar dipertikaikan 'lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah' kerana ia merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Majlis Raja-Raja mengingatkan juga agar isu berkaitan kontrak sosial 'tidak sekali-kali cuba diuji atau dicabar.'
Memanglah keadaan dan suasana serta zaman yang melahirkan Perlembagaan itu telah berubah. Demikian juga dinamisme masyarakat serta akal budi rakyat negara ini. Tetapi bagi banyak negara yang usia Perlembagaannya ratusan tahun pun, soal inti dan kandungannya tidak pernah dipersoalkan. Apa lagi beberapa elemen penting di dalamnya didebatkan secara terbuka.

Pemahaman ini sama pentingnya dengan menghayati semangat Perlembagaan itu. Semangat itu nampaknya bukan sahaja semakin luntur tetapi peruntukan yang sepatutnya dipelihara demi kestabilan dan keharmonian rakyat turut pula diperlekehkan. Majlis Raja-Raja berpandangan, 'gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan pada negara.'

Pada waktu yang sama Raja-Raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu agar bersatu padu untuk mempertahankan hak-hak mereka dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kenyataan itu memasukkan ayat ini, 'agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.'

Memang isu membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu semakin lantang kedengaran. Malah ada kalangan orang Melayu sendiri yang menjadi dalang pada perbincangan dan tindakan ke arah itu. Ada di kalangan orang Melayu yang mulai menanyakan keperluan perlindungan dari peruntukan Perlembagaan membabitkan hak-hak istimewa mereka sendiri. Ini termasuklah menanyakan relevannya dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Puncanya ialah kerana keyakinan baru di kalangan orang Melayu sendiri. Tetapi mereka lupa bahawa kejayaan dasar-dasar yang membolehkan mereka mengangkat mobiliti sosial, mendapat pendidikan lebih baik dan memperoleh peluang perniagaan merupakan hasil tafsiran dari peruntukan dalam Perlembagaan itu sendiri.

Memang orang Melayu mudah lupa. Apa lagi mereka yang sudah berjaya dan memperoleh kejayaan yang mulai menafikan hakikat bahawa jutaan lagi anak bangsa mereka memerlukan perlindungan dan bantuan. Memang mudah terbabit dalam perbahasan terbuka mengenai kesamarataan dan keadilan, tetapi realiti kedudukan orang Melayu sama sekali berbeza. Malah dasar-dasar yang bertolak dari usaha menyusun semula masyarakat dan menghapuskan kemiskinan sama sekali tidak berhasrat mengetepikan kepentingan kaum-kaum lain.

Raja-Raja Melayu telah memberikan ingatan. Kenyataan luar biasa itu seharusnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Kenyataan itu diharapkan akan menghilangkan segala kekeliruan di kalangan rakyat. Apa yang diharapkan ialah 'suasana yang harmoni, aman dan sikap hormat menghormati di kalangan rakyat' demi menjaga ketenteraman negara.

No comments: