Oleh Syuhada Choo Abdullah
Transformasi pendidikan utama sejarah
KUALA LUMPUR: Transformasi pendidikan pada peringkat sekolah rendah yang bakal dirintis mulai 2010 akan mengambil kira pendedahan dari pelbagai aspek sejarah negara, termasuk kontrak sosial selaras usaha untuk menyemai dan memperkukuh integrasi nasional di kalangan generasi muda.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rombakan itu yang menjadi sebahagian agenda utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), akan diteliti pihak berkepakaran secara holistik.
Selain kontrak sosial, beliau berkata, aspek penting lain yang perlu turut diberi penekanan ialah cara negara mencapai kemerdekaan, gandingan keseluruhan rakyat serta penggemblengan semua kaum untuk mengisi kemerdekaan.
“Bagaimana ia dapat dirangkumi sama ada dengan mata pelajaran khusus atau merentasi pelajaran, ia akan dilihat dalam konteks transformasi yang hanya akan saya umumkan menjelang 2010,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Perpaduan dan Integrasi Pemimpin Murid Peringkat Kebangsaan 2008 bertema `Perpaduan Lestari Menjana Modal Insan’ di sini, malam tadi.
Hishammuddin berkata, matlamat kementerian ialah untuk melihat secara bersungguh-sungguh bahawa nilai asas dalam usaha membina negara bangsa difahami semua pihak tanpa membabitkan sensitiviti dan syak-wasangka.
Sementara itu, katanya, Kementerian Pelajaran akan bekerjasama dengan Biro Tata Negara dan agensi lain untuk mengadakan Kongres Patriotisme pada masa terdekat, di samping menggalakkan penubuhan alumni pemimpin murid.
No comments:
Post a Comment