KUALA LUMPUR 16 Okt. - Mendapat 14 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Puteri UMNO walaupun tidak pernah mengumumkan hasrat untuk bertanding, menjadikan seorang peguam yang tegas, menitiskan air mata.
Itulah yang berlaku kepada Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang, Haslinda Mohd. Zerain kerana terharu terhadap kepercayaan ahli Puteri di peringkat akar umbi.
''Saya sebenarnya melihat pemilihan Puteri sebagai pertandingan dalam sebuah keluarga kerana yang bertanding adalah rakan,'' katanya di sini hari ini.
Pencalonan yang 'menarik' itu membuatkan beliau memutuskan untuk bersedia bagi menghadapi pertandingan jika mendapat bilangan pencalonan yang selesa.
Justeru, beliau berharap bahagian lain yang masih belum bersidang dapat turut mencalonkannya.
Haslinda yang masih belum berkahwin, yakin dapat menjadi naib ketua yang berkesan kerana tidak menyandang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
''Oleh itu, saya mampu memberi komitmen dan banyak masa dalam melaksanakan tanggungjawab terus kepada ahli peringkat akar umbi Puteri UMNO tanpa melukakan hati sesiapa,'' katanya.
Dengan pengalaman sejak penubuhan Puteri UMNO dan menjadi Ketua Puteri Bahagian Ampang, beliau yakin mampu memberi khidmat terbaik bagi menarik profesional muda di bandar dan pinggir bandar untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Haslinda, 34, mendapat pencalonan daripada Bahagian Ketereh, Pasir Gudang, Kluang, Ampang, Serdang, Petaling Jaya Selatan, Sepang, Kapar, Kuala Langat, Kuala Selangor, Subang, Shah Alam, Cheras dan Titiwangsa.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO pusat memberitahu, semangatnya untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak pernah luntur.
Oleh itu, ujarnya, menang atau kalah dalam merebut jawatan nombor dua Puteri, bukan persoalan utama.
Anak kelahiran Ampang, Selangor itu yang mengekalkan jawatan sebagai Ketua Puteri bahagian tersebut selama tiga penggal berturut-turut berkata, beliau akur dengan apa jua keputusan pada pemilihan parti Mac depan.
No comments:
Post a Comment