Saturday, January 3, 2009

Utusan:Jualan amal Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa kurang sambutan

ARKIB : 28/12/2008


KUALA LUMPUR 27 Dis. - Jualan amal untuk Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa yang diadakan di Pasar Seni di sini kurang mendapat sambutan orang ramai.

Pengurus Acara, Hassan Saad berkata, setakat ini sambutan yang diberikan begitu dingin dan beliau berharap lebih ramai orang perseorangan dan organisasi korporat tampil mengisi tabung bencana alam tersebut.

"Mungkin orang ramai melihat mangsa tanah runtuh tersebut dari kalangan orang berada dan beranggapan ia tidak perlu dibantu.

"Selain itu, faktor waktu juga kurang sesuai memandangkan sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Sudah tentu ibu bapa mengutamakan perbelanjaan sekolah untuk anak-anak mereka," katanya.

Hassan menambah, antara aktiviti lain yang telah dirancang termasuklah lelongan amal oleh selebriti dengan kerjasama pihak Karyawan.

"Sehingga kini sudah ada 20 selebriti yang akan melelong barangan peribadi mereka dan kita mengalu-alukan kehadiran lebih ramai selebriti bagi menjayakan aktiviti ini.

"Kita menganggarkan akan mengumpul RM10,000 semasa lelongan tersebut dan semua pihak yang berminat boleh hadir di perkarangan Pasar Seni pada 4 Januari ini," katanya ketika ditemui di Pasar Seni di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Ampang dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menubuhkan Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa bagi membantu mangsa-mangsa tanah runtuh yang terlibat.

Menurut peniaga, Azie Mohd. Isa, sambutan yang diterima kurang memberangsangkan terutamanya daripada kalangan penduduk tempatan.

"Saya lihat tidak ramai orang yang mengetahui tentang jualan amal ini. Mungkin disebabkan kurang promosi dan sepatutnya pihak penganjur perlu mempergiatkan lagi promosi.

"Tidak salah kita berbelanja sambil menyumbang kepada tabung amal ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus saling bantu membantu," katanya lagi.

Fatini Darlis yang menjual pakaian pula berpendapat, jualan amal tersebut seharusnya disambut baik oleh orang ramai memandangkan ia bertujuan membantu mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

"Sepatutnya aktiviti seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan rakyat kita memang prihatin.

"Bagaimanapun untuk kali ini ia seakan-akan suram. Mungkin orang beranggapan kebanyakan mangsa adalah orang kaya, jadi tidak perlulah mereka menderma," kata Fatini.

Bagi pengunjung, Mohd. Ramzan Mansur, dia sememangnya tidak mengetahui kewujudan jualan amal tersebut memandangkan tidak banyak promosi yang dilakukan.

Dia pula berpendapat, rakyat Malaysia kurang berminat untuk menderma kepada tabung bantuan seperti itu dan kebanyakan mereka hanya bersimpati sahaja.

"Persepsi sebegini memang biasa kita lihat di Malaysia. Jika mangsa di kalangan saudara mara sendiri, barulah kita sibuk mencari dana untuk membantu," katanya.

No comments: